Wednesday, September 22, 2010

Magahau akan disambut secara besar-besaran tahun ini

Pitas: Anggaran Kos sebanyak RM95,650.00 telah dipersetujui oleh AMT SAMORA untuk membiayai pesta Magahau 2010. Demikian dimaklumkan oleh En. Jose Modsinupu, Pengerusi Pengelola Bersama Pesta Magahau 2010 semasa mesyuarat Jawatankuasa itu di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Pitas pagi tadi. Anggaran Kos ini adalah jauh lebih besar berbanding kos tahun lepas yang hanya berjumlah RM68,000.00. Anggaran Kos Magahau kali ini memberi peruntukan paling banyak untuk acara mitarab gimpuhut (ratu cantik suku kaum Rungus) dan upacara mamapak yang menjadi identiti pesta Magahau.

Bagi acara gimpuhut, hadiah dan gelaran kemenangan diberikan kepada pemenang sehingga tempat ke-7. Tempat ke-8 sehingga tempat ke-10 akan diberi saguhati pusingan akhir. Saguhati penyertaan pula akan diberikan kepada 20 orang peserta. Bagi acara Mamapak pula, sebanyak 7 buah pinapakan akan dibena. Acara-acara lain yang turut diberi perhatian ialah seperti berikut:

Monday, September 20, 2010

SAMORA menghulur bantuan sempena hari raya

Matunggong: Keluarga En. Yakang atau lebih dikenali sebagai En. Morijon (golongan warga emas) di Kg. Pinawantai, Matunggong bernasib baik kerana terpilih sebagai salah satu penerima bantuan daripada SAMORA sempena hari raya 2010. Rombongan AMT SAMORA yang diketuai oleh presidennya En. Jelani Hamdan telah mengunjungi kediaman keluarga tersebut kira-kira jam 4.00pm tadi untuk menyerahkan bantuan berupa tong gas, dapur gas dan hamper makanan.

Menurut En. Jelani Hamdan, sumbangan ini adalah sempena sambutan hari raya tahun ini. Beliau berharap lebih ramai lagi keluarga yang hidup dalam keadaan daif di Matunggong dapat dibantu oleh kerajaan atau pihak NGO lain. Pihak SAMORA akan berusaha menarik perhatian pihak NGO yang berkenaan untuk melaksanakan aktiviti kebajikan di Matunggong. SAMORA juga akan mengenalpasti keluarga-keluarga yang benar-benar perlu dibantu untuk menerima bantuan seterusnya daripada SAMORA atau pihak-pihak lain.

Rumah kediaman En. Yakang yang terletak di laluan bertar kira-kira 3km sahaja dari pekan Matunggong, kelihatan agak daif, kecil dan ruangnya sempit. Rumah yang berukuran lebih kurang 13 kaki persegi itulah tempat mereka berteduh, memasak, tidur dan sebagainya. Bantuan SAMORA yang sangat kecil itupun sudah memadai untuk menggembirakan mereka.

Kami dimaklumkan oleh orang ramai yang turut datang menyambut kami bahawa ramai lagi keluarga seperti ini di Matunggong yang memerlukan bantuan. Pihak SAMORA akan berusaha untuk membantu tetapi setakat manakah kemampuan SAMORA? Ini adalah masalah sejagat dan perlu ditangani bersama oleh pemimpin-pemimpin politik, agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO yang berkaitan.

Sunday, September 19, 2010

Pekan Sikuati: Pusat sosio-ekonomi suku kaum Rungus yang tertua

Pekan Sikuati adalah sebuah pekan yang terletak di utara negeri Sabah, kira-kira 22km dari bandar Kudat. Pada asalnya pekan sikuati ini adalah kawasan ladang padi suku kaum Rungus dan diberi nama kampung rampai. Nama ini diberikan nama Kg. Rampai kerana kawasan tersebut sangat subur sehingga padi yang ditanam tumbuh sehingga melepasi ketinggian tunggul-tungul kayu balak yang terdapat di sana. Dalam bahasa Rungus dikatakan "Sangrampai-rampai sid tuod it uva dot parai".

Kawasan tersbut mula didiami oleh beberapa keluarga cina apabila jalan raya yang menghubungkan Kg. Tongkang dan Kudat telah siap dibina oleh kerajaan British pada masa itu. Kg. Tongkang pada masa itu adalah pelabuhan bagi tongkang-tongkang cina. Sebab itulah dinamakan Kg. Tongkang. Kg. Tongkang mempunyai pelabuhan yang terlindung daripada angin kencang dari semua arah. Sebab itulah ia menjadi pilihan pengemudi tongkang-tongkang cina untuk berlabuh.

Keluarga cina yang mendiami kawasan tersebut telah membuka kedai runcit untuk membekalkan keperluan penduduk di sekitarnya. Pengujudan sebuah sekolah rendah pada ketika itu di kawasan tersebut menjadikan tempat tersebut semakin menjadi tumpuan ramai. Akhirnya "badi" atau "tamu" yang merupakan pasar yang dibuka seminggu sekali diwujudkan di kawasan tersebut. Penjual dan pembeli bertemu di "badi" setiap hari Ahad untuk berurusniaga.

Selain membeli keperluan harian, pengunjung-pengunjung juga turut bersosial seperti bersembang-sembang di kedai kopi, bertukar-tukar maklumat dan seumpamanya. Fenomena ini menjadikan kawasan tersebut menjadi bukan sahaja pusat perniagaan tetapi juga tempat untuk suku kaum Rungus bersosial.

Apabila masa berlalu, kawasan tersebut semakin maju dan diberi nama pekan Sikuati. Sehingga sekarang, masih tidak dapat dipastikan mengapakah kawasan tersebut dinamakan pekan Sikuati dan bukannya pekan Rampai. Kawasan yang dahulunya dinamakan Kg. Rampai kini telah terbahagi kepada Kg. Rampai Besar, Kg. Rampai, Pekan Sikuati dan Kg. Rampai Selatan.

Pada masa ini, pekan Sikuati semakin maju tetapi masih lagi mengekalkan identiti "badi" atau "tamu" yang diadakan setiap hari Ahad. Pengunjungnya juga masih lagi menjadikan tempat ini, bukan sahaja untuk berurusniaga tetapi juga untuk bersosial. Justeru itu pekan Sikuati bolehlah dianggap sebagai pusat sosio-ekonomi suku kaum Rungus yang tertua.

Pada masa kini dianggarkan 90% pengunjung tamu Sikuati adalah suku kaum Rungus dan 10% lagi adalah suku kaum lain. Sementara 50% penjual di gerai-gerai atau penjaja (tidak termasuk kedai runcit di rumah-rumah kedai) adalah dari suku kaum Rungus dan selebihnya adalah suku kaum lain. Hanya sebuah restoran, sebuah kedai runcit, sebuah cyber cafe, sebuah kedai alat ganti kereta, sebuah saloon kecantikan dan sebuah kedai fotokopi yang pemiliknya adalah dari suku kaum Rungus.

Statistik di atas menunjukkan, penglibatan suku kaum Rungus di dalam dunia perniagaan yang agak kurang walaupun di dalam daerahnya sendiri di mana jumlah mereka adalah majoriti. Mengapakah ini berlaku? Banyak faktor yang boleh menyebabkan perkara ini berlaku. Tetapi yang jelas, suku kaum Rungus perlu memikirkan sesuatu agar tidak terus terpinggir di dalam arus pembangunan negara. Ada orang mengatakan "Jika kita terpinggir di kawasan kita sendiri apatah lagi di kawasan orang lain, yang mana suku kaum lain yang majoriti." Mungkin ungkapan tersebut kurang tepat, tetapi di manakah pekan di Malaysia ini yang mana suku kaum Rungus adalah minoriti tetapi majoriti peniaganya adalah suku kaum Rungus?

Kini terdapat 5 buah blok rumah kedai konkrit yang beroperasi sejak tahun 2001 dan sebuah lagi blok rumah kedai konkrit yang hampir siap sepenuhnya. Kerajaan juga telah membina lima buah sekolah iaitu SK Lok Yuk, SRK Sikuati, SMK Sikuati, SMK Sikuati II dan SM Teknik. Terdapat dua buah pusat kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Sikuati dan Pusat Kesihatan Desa UMS. Kemudahan-kemudahan lain yang disediakan ialah Pusat Latihan Dakwah, Pusat Latihan Giat MARA dan Balai Polis Sikuati.

Popular Posts