Pekan Sikuati adalah sebuah pekan yang terletak di utara negeri Sabah, kira-kira 22km dari bandar Kudat. Pada asalnya pekan sikuati ini adalah kawasan ladang padi suku kaum Rungus dan diberi nama kampung rampai. Nama ini diberikan nama Kg. Rampai kerana kawasan tersebut sangat subur sehingga padi yang ditanam tumbuh sehingga melepasi ketinggian tunggul-tungul kayu balak yang terdapat di sana. Dalam bahasa Rungus dikatakan "Sangrampai-rampai sid tuod it uva dot parai".
Kawasan tersbut mula didiami oleh beberapa keluarga cina apabila jalan raya yang menghubungkan Kg. Tongkang dan Kudat telah siap dibina oleh kerajaan British pada masa itu. Kg. Tongkang pada masa itu adalah pelabuhan bagi tongkang-tongkang cina. Sebab itulah dinamakan Kg. Tongkang. Kg. Tongkang mempunyai pelabuhan yang terlindung daripada angin kencang dari semua arah. Sebab itulah ia menjadi pilihan pengemudi tongkang-tongkang cina untuk berlabuh.
Keluarga cina yang mendiami kawasan tersebut telah membuka kedai runcit untuk membekalkan keperluan penduduk di sekitarnya. Pengujudan sebuah sekolah rendah pada ketika itu di kawasan tersebut menjadikan tempat tersebut semakin menjadi tumpuan ramai. Akhirnya "badi" atau "tamu" yang merupakan pasar yang dibuka seminggu sekali diwujudkan di kawasan tersebut. Penjual dan pembeli bertemu di "badi" setiap hari Ahad untuk berurusniaga.
Selain membeli keperluan harian, pengunjung-pengunjung juga turut bersosial seperti bersembang-sembang di kedai kopi, bertukar-tukar maklumat dan seumpamanya. Fenomena ini menjadikan kawasan tersebut menjadi bukan sahaja pusat perniagaan tetapi juga tempat untuk suku kaum Rungus bersosial.
Apabila masa berlalu, kawasan tersebut semakin maju dan diberi nama pekan Sikuati. Sehingga sekarang, masih tidak dapat dipastikan mengapakah kawasan tersebut dinamakan pekan Sikuati dan bukannya pekan Rampai. Kawasan yang dahulunya dinamakan Kg. Rampai kini telah terbahagi kepada Kg. Rampai Besar, Kg. Rampai, Pekan Sikuati dan Kg. Rampai Selatan.
Pada masa ini, pekan Sikuati semakin maju tetapi masih lagi mengekalkan identiti "badi" atau "tamu" yang diadakan setiap hari Ahad. Pengunjungnya juga masih lagi menjadikan tempat ini, bukan sahaja untuk berurusniaga tetapi juga untuk bersosial. Justeru itu pekan Sikuati bolehlah dianggap sebagai pusat sosio-ekonomi suku kaum Rungus yang tertua.
Pada masa kini dianggarkan 90% pengunjung tamu Sikuati adalah suku kaum Rungus dan 10% lagi adalah suku kaum lain. Sementara 50% penjual di gerai-gerai atau penjaja (tidak termasuk kedai runcit di rumah-rumah kedai) adalah dari suku kaum Rungus dan selebihnya adalah suku kaum lain. Hanya sebuah restoran, sebuah kedai runcit, sebuah cyber cafe, sebuah kedai alat ganti kereta, sebuah saloon kecantikan dan sebuah kedai fotokopi yang pemiliknya adalah dari suku kaum Rungus.
Statistik di atas menunjukkan, penglibatan suku kaum Rungus di dalam dunia perniagaan yang agak kurang walaupun di dalam daerahnya sendiri di mana jumlah mereka adalah majoriti. Mengapakah ini berlaku? Banyak faktor yang boleh menyebabkan perkara ini berlaku. Tetapi yang jelas, suku kaum Rungus perlu memikirkan sesuatu agar tidak terus terpinggir di dalam arus pembangunan negara. Ada orang mengatakan "Jika kita terpinggir di kawasan kita sendiri apatah lagi di kawasan orang lain, yang mana suku kaum lain yang majoriti." Mungkin ungkapan tersebut kurang tepat, tetapi di manakah pekan di Malaysia ini yang mana suku kaum Rungus adalah minoriti tetapi majoriti peniaganya adalah suku kaum Rungus?
Kini terdapat 5 buah blok rumah kedai konkrit yang beroperasi sejak tahun 2001 dan sebuah lagi blok rumah kedai konkrit yang hampir siap sepenuhnya. Kerajaan juga telah membina lima buah sekolah iaitu SK Lok Yuk, SRK Sikuati, SMK Sikuati, SMK Sikuati II dan SM Teknik. Terdapat dua buah pusat kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Sikuati dan Pusat Kesihatan Desa UMS. Kemudahan-kemudahan lain yang disediakan ialah Pusat Latihan Dakwah, Pusat Latihan Giat MARA dan Balai Polis Sikuati.
No comments:
Post a Comment